25 September 2020 (KUANTAN) – Sesebuah organisasi tidak akan mencapai kejayaan tanpa usaha sama di antara pemimpin dengan pekerja-pekerjanya. Justeru, organisasi perlu menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangannya dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh organisasi.
Demikian menurut YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KUIPSAS Tahun 2019 yang diadakan di Auditorium KUIPSAS hari ini.
Majlis yang bermula jam 3.00 petang itu turut dihadiri oleh Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar, Pegawai Kewangan Negeri Pahang merangkap Ahli Lembaga Pengarah SPIPSB, YH. Dato’ Haji Tarif Bin Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah SPIPB, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad bin Muda, Pengerusi Lembaga Pengelola, Ahli-Ahli Lembaga Pengelola, semua Anggota Kerja KUIPSAS dan kakitangan Anak Syarikat Sistem Pendidikan Islam Pahang Sendirian Berhad iaitu Akademi Naluri Sendirian Berhad.
Sebanyak tiga (3) kategori anugerah yang disediakan iaitu Anugerah Khas Rektor, Anugerah Kesetiaan KUIPSAS dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Anugerah Khas Rektor disediakan bagi mengiktiraf AKK yang berjaya membawa masuk pelajar baharu seramai enam (6) orang dan ke atas pada tahun 2019. Seramai 15 orang AKK menerima anugerah ini beserta Sijil Penghargaan dan cenderahati.
Anugerah Kesetiaan KUIPSAS pula diberikan sebagai tanda penghargaan kepada AKK yang telah berkhidmat selama 20 tahun di KUIPSAS. Anugerah ini diterima oleh tujuh (7) orang AKK beserta Sijil Penghargaan dan cenderahati.
Seterusnya, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 KUIPSAS diberikan kepada seramai 16 orang AKK yang mencapai prestasi cemerlang sepanjang tahun 2019 lalu dan menerima Sijil Penghargaan, cenderahati dan wang tunai RM1,000.00. Turut menerima APC 2019 adalah dua (2) orang kakitangan daripada Anak Syarikat Sistem Pendidikan Islam Pahang Sendirian Berhad iaitu Akademi Naluri Sendirian Berhad. Mereka menerima Sijil Penghargaan, cenderahati dan wang tunai RM500.00.
Dalam masjlis ini juga, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin turut merasmikan Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS sebagi tanda bermulanya penganjuran acara-acara sepanjang tahun bagi menyambut Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah.
Kerajaan Negeri Pahang
#apc2019 #cemerlang #anugerah #kuipsas #kuipsas25tahun #jubliperakkuipsas #kuipsasdihatimu #kuipsasbumibarakah #MajuTerusPahang #Pahang1st
© Copyright 2017. Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah