30 Januari 2020 (KUANTAN) – Koperasi Kariah Masjid KIPSAS Kuantan Berhad terus mencatatkan keuntungan selepas empat tahun beroperasi. Keuntungan ini membolehkan anggota koperasi menerima dividen sebanyak 12% yang diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-4 pada hari ini. Mesyuarat Agung yang diadakan di Auditorium KUIPSAS ini dihadiri seramai 95 orang anggota bermula jam 9.00 pagi.
Pengerusi koperasi, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dalam ucapannya menyatakan kegembiraannya dengan perkembangan koperasi ini kerana aktiviti perniagaan yang dijalankan berjaya mencatatkan keuntungan di samping peningkatan jumlah anggota yang semakin ramai.
Mesyuarat Agung ini telah dirasmikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Koperasi Kariah Masjid KIPSAS Kuantan Berhad menumpukan kepada tiga aktiviti perniagaan iaitu Kelas Tahsin Al-Quran Dan Ilmu Tajwid (Talaqqi), Projek Tanaman Kelapa Dalam Kampus KUIPSAS dan Projek Penyelidikan Benih Kelapa Bunut Rendang.