15 Oktober 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, YH. Dato’ Indera Khairul Dzaimee Bin Daud di pejabatnya di Presint 2, Putrajaya, hari ini. Kunjungan Hormat ini dihadiri oleh Pendaftar KUIPSAS, YBhg. Mejar Mohd Zamri bin Wahab dan Penolong Pendaftar Sumber Manusia, En. Mohd Hider bin Othman.
Kunjungan Hormat ini diketuai oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran Dan Kesihatan Negeri Pahang dan turut dihadiri oleh YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad b. Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Mohammad bin Ab. Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan (JAIP) dan Encik Lebai Idris bin Ali, Pengetua Kulliah Allughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan.
Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini, pandangan dan nasihat daripada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia mengenai pelantikan dan pengurusan hal ehwal Pegawai Dagang (Ekspatriat) yang bertugas di KUIPSAS sebagai tenaga pengajar bukan warganegara Malaysia. Untuk rekod, KUIPSAS memiliki 6 orang pensyarah berasal dari negara Mesir dan berkelulusan PhD Universiti Al-Azhar yang pada ketika ini bertugas sebagai pensyarah di KUIPSAS.
© Copyright 2017. Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah